Wednesday, July 8, 2026

 KITA DALM BENTUK LAIN
.TOLONG ORANG, ALLAH BALAS DALAM CARA LAIN.

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA


CnP

𝗞𝗶𝘀𝗮𝗵 𝟮𝟬𝟭𝟲/𝟮𝟬𝟭𝟳: 𝗕𝘂𝗱𝗮𝗸 𝗦𝗲𝗰𝗿𝗲𝘁 𝗥𝗲𝗰𝗶𝗽𝗲, 𝗨𝗶𝗧𝗠 𝗔𝗿𝗮𝘂 𝗱𝗮𝗻 𝗕𝗲𝗯𝗲𝗿𝗮𝗽𝗮 𝗥𝗮𝘁𝘂𝘀 𝗥𝗶𝗻𝗴𝗴𝗶𝘁 🙂🌹

Bila baca berita pasal UiTM Kedah benarkan pelajar B40 daftar dulu dan bayar yuran kemudian, saya teringat satu kisah lama.

Kisah ni berlaku sekitar tahun 2016/2017. Masa tu saya sudah selesai PhD di UMK, Universiti Malaysia Kelantan. Cuma belum masuk kerja mana-mana lagi. Saya banyak buat kerja sendiri. Tulis paper, siapkan artikel jurnal dan buat pembacaan. 

Waktu tu kawasan Kota Bharu & Pengkalan Chepa, terutama dekat rumah saya, belum ada banyak hipster coffee house macam sekarang. Kalau bosan duduk rumah, saya biasanya pergi Secret Recipe Taman Bendahara, sebelah UMK Pengkalan Chepa.

Memang boleh kata 2-3 kali seminggu saya duduk situ. Bawa laptop, order air, buat kerja.

Saya suka duduk di meja tepi laluan orang berjalan sebelah tingkap kaca. Saya memang suka tengok kereta & orang lalu-lalang. Tengok motion/pergerakan macam tu, benda tu kadang-kadang bantu saya dapat idea menulis.

Satu hari, ada seorang pekerja lelaki Secret Recipe datang tegur saya. Budak muda, mungkin umur 18/19 tahun.

Dia kata lebih kurang begini,

“Abang ni nampak macam orang belajar. Saya nak minta pandangan sikit. Saya tak tahu nak tanya siapa.”

Saya tanya dia, “Kenapa?”

Dia pun cerita.

Dia dapat dua tawaran.

Satu tawaran ke UiTM Arau, Diploma in Geomatics Science. Itu bidang yang dia mohon sebab minat.

Satu lagi tawaran ke Kolej Matrikulasi Kelantan.

Masalah dia bukan sebab dia tak nak belajar. Dia memang nak sambung belajar. Cuma dia tengah tersepit nak buat keputusan.

Keluarga dia suruh masuk matrikulasi sebab kos rendah. Tak perlu bayar yuran awal-awal, kerajaan tanggung. Dekat dengan rumah pula, tak perlu fikir tambang bas jauh-jauh.

Tapi dia sendiri minat belajar Geomatics Science di UiTM Arau.

Cuma kalau nak pergi Arau, banyak benda kena fikir. Yuran awal, tambang perjalanan, makan, barang keperluan, dan duit untuk bertahan sementara tunggu PTPTN masuk.

Waktu tu dia kerja di Secret Recipe. Dia berulang-alik setiap hari dengan motosikal dari Bachok ke Pengkalan Chepa (around 35 KM). Gaji kerja tak cukup sebab ada tanggungjawab keluarga dan belanja lain.

Hari itu pula hari terakhir dia kena buat keputusan. Sama ada nak terima matrikulasi atau terima UiTM.

Saya tanya dia,

“Kalau tak fikir pasal duit, awak nak pilih mana?”

Dia jawab,

“UiTM, bang.”

Saya kata,

“Kalau macam tu, pilih apa yang awak memang nak belajar.”

Saya suruh dia pergi cyber cafe dan selesaikan urusan penerimaan tawaran, kemudian print out slip. Lepas selesai, dia datang semula jumpa saya.

Saya pergi ATM. Saya keluarkan beberapa ratus ringgit, seingat saya. Saya kira lebih kurang cukup untuk tambang bas dan teksi, dan belanja makan sebulan (makan 2 kali sehari) sementara tunggu duit pinjaman PTPTN lulus/masuk.

Saya bagi duit tu pada dia.

Bukan zakat, tapi sedekah saja. Masa tu saya pun belum bekerja. 

Saya suruh dia beli tiket bas dan pergi daftar UiTM Arau. Jangan lepaskan peluang.

Seminggu selepas itu, dia mesej saya. Dia beritahu dia sudah sampai dan sudah daftar di UiTM Arau. Dia ucap terima kasih.

Saya pun dah terlupa nama dia.

Kalau dia ada terbaca tulisan ini, boleh berhubung dengan saya. Saya cuma nak tahu dia jadi apa sekarang. 

Saya bukan tulis cerita ini untuk menunjuk baik. Tak ada apa pun nak ditunjukkan. Cerita ni pun sudah lama sangat. 

Beberapa bulan selepas itu, saya dapat tawaran kerja daripada Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, dan saya pilih UPM.

Dalam hidup ni, kadang-kadang begitulah. Kita tolong seseorang, bukan semestinya orang itu akan tolong kita balik. Kadang-kadang Allah gerakkan orang lain pula tolong kita di tempat lain, pada waktu lain.

Kita tolong orang yang sedang susah. Ganjarannya Allah bagi dalam macam-macam bentuk. Kadang-kadang bukan duit pun. Mungkin peluang, ketenangan, jalan keluar, atau urusan kita dipermudahkan.

Sebab itu kalau ada peluang bantu orang, bantu saja setakat yang mampu.

Tak semestinya besar.

Kadang-kadang kecil pada kita, tapi besar pada orang lain.

Bukan semua masalah pelajar nampak dari jauh. Atas kertas mungkin nampak mudah. Yuran beberapa ratus ringgit. Tambang bas. Belanja makan. Barang asas sikit.

Tapi dalam keadaan tertentu, semua itu boleh jadi berat.

Satu kelonggaran kecil boleh jadi sangat besar dalam hidup seorang pelajar.

Hasil nukilan,

PROFESOR MADYA DR. NIK AHMAD SUFIAN BURHAN
Ketua
Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan
Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra

No comments:

Post a Comment

My Podcast

Visitors

widgeo

Iran News